Saturday, 1 February 2014

RENUNGAN: REZEKI YANG DI BERKATI

          Di sini Mak Long catatkan sedikit intipati berkaitan rezeki sedutan daripada sebuah buku bertajuk " KUNCI REZEKI". Buku adalah hasil nukilan ustaz Dr. Abdullah Yasin yang merupakan guru Mak Long di kelas Akidah dan Tafsir yang Mak Long hadiri setiap hari Rabu. Isi buku ini sangat padat, tepat dan mudah di fahami. Di bawah adalah petikan daripada buku beliau.

Menurut pengarang, Dr. Yusuf Al Qardhawi di dalam kitabnya "Halal dan Haram" telah menyebut lima syarat bagi menentukan bahawa sesuatu kerja itu boleh di nilai sebagai ibadat iaitu:

1.  Pekerjaan yang halal yang di benarkan oleh Islam seperti berdagang, bertani dan lain-lain.
2.  Niat nya mestilah ikhlas kerana Allah.
3.  Pekerjaan di lakukan dengan tekun dan sepenuh hati.
4.  Tidak melanggar batasan agama seperti menipu timbang, berbohong dan lain-lain.
5.  Tidak meninggalkan kewajipan rutin terhadap Allah seperti solat fardhu, menutup aurat dan lain-lain.

Dalam usaha mencari rezeki, pengarang menyatakan sebagai umat Islam ada dua sebab di benarkan iaitu: 

1.  Sebab Tabi'iy - sebab yang di perolehi berdasarkan pengalaman dan penyelidikan. Contohnya makan ubat di kaitkan dengan kesembuhan penyakit, lebih usaha untung pun lebih dan lain- lain.
2.  Sebab Syar'iy - sebab yang di asaskan oleh syara' atau agama contoh doa. Dengan berdoa rezeki di murahkan oleh Allah.

10 kunci murah rezeki melalui sebab-sebab Syar'iy iaitu:

1.  Istighfar dan Taubat

"Daripada Abdullah Bin Abbas r.a katanya , telah bersabda Rasulullah s.a.w : Barang siapa yang memperbanyak Istighfar niscaya Allah jadikan setiap keresahan ada ketenteraman baginya, dan setiap kesulitan ada kemudahan, dan Allah berikan ia rezeki dari sumber yang tidak di sangka-sangkanya".
- HR Imam Ahmad, Abu Daud, Al Nasai, Ibnu Majah dan Al Hakim)

Daripada hadis ini Nabi Muhammad s.a.w menyebut tiga kegunaan Istighfar, iaitu:
(i)   Allah akan ganti keresahan hatinya dengan ketenteraman.
(ii)  Allah akan ganti kesulitan hidup dengan keselesaan hidup.
(iii) Allah akan berikan ia rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.

2.  Taqwa

Menurut Saidina Ali r.a: Taqwa ialah melaksanakan apa yang di suruh oleh Allah dan menjauhi apa yang di larang Nya.

Di antara ayat Quran yang menyebut bahawa sifat taqwa adalah di antara penyebab seseorang itu murah rezeki ialah: Firman Allah di dalam surah Al Talaq/65: 2-3: " Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada di sangka-sangkanya".

Allah S.W.T berjanji di dalam ayat ini, bahawa sesiapa yang telah memenuhi syarat taqwa maka Allah akan memberi nya 2 perkara iaitu:
(i)   Allah akan memberinya jalan keluar daripada segala kesulitan di dunia dan di akhirat.
(ii)  Allah akan memberi kepadanya rezeki daripada sumber yang tidak di sangka-sangkanya.

3.  Tawakkal 

Tawakkal ialah menyandarkan hati hanya kepada Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda: "sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar- benar tawakkal, nescaya kamu dilimpahkan rezeki sebagaimana burung di beri rezeki, (dia) meninggalkan sarangnya pada waktu pagi dalam keadaan perutnya kosong dan kembali pada petangnya dalam keadaan perutnya kenyang". HR Imam Ahmad, Tarmidzi,Ibnu Majah, Ibnu Mubarak, Ibnu hiburan, Al Hakim dll ).

4.   Tekun Beribadat

Rasulullah s.a.w bersabda di dalam hadis qudsi: ". Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w katanya: sesungguhnya Allah S.W.T. berfirman : Hai anak Adam! Tekun lah kamu beribadat kepada Ku, nescaya akan Aku penuhkan hatimu dengan kekayaan dan akan Aku hilangkan kefakiranmu. Tetapi jika kamu tidak melakukan nya, nescaya akan Aku penuhkan tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak akan hilangkan kefakiranmu". HR Tarmidzi dan Ibnu Majah- Sahih menurut Al Albany).

Dalam hadis ini Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan bahawa Allah S.W.T berjanji akan memberi dua ganjaran kepada orang yang tekun beribadat kepadanya iaitu:
 
( i )  Allah akan memberinya kekayaan.
( ii ) Allah akan menghilangkan kefakiran nya.

Hukuman bagi orang yang tidak tekun beribadat kepada Nya pula ialah:

( i )  Allah akan sibukkan dia dalam hal-hal yang tidak berguna.
( ii ) Allah tidak akan menghilangkan kefakiran nya.

5.    Haji Dan Umrah

"Daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a. katanya : Rasulullah s.a.w bersabda: Ikutilah di antara haji dan umrah, kerana kedua-dua ibadat itu dapat menghapuskan kefakiran dan dosa, sebagaimana api dapat  menghancurkan karatan besi, emas dan Perak, dan tiadalah ganjaran haji yang karburetor melainkan syurga".

Daripada hadis di atas dapat di simpulkan bahawa di antara kelebihan mengikuti ibadah haji dan umrah adalah menghindarkan kefakiran dan dosa.

6.    Silaturrahim

Rasulullah s.a.w bersabda: "Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang ingin agar rezekinya di mudahkan dan umurnya di panjangkan maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim".

7.    Infaq

Makna Infaq dalam jalan Allah ialah membelanjakan sesuatu yang di sayangi untuk agama Allah seperti membelanjakan kepada fakir miskin atau untuk membantu agama Allah.

8.    Infaq kepada Penuntut Ilmu Syara'

Hadis yang di riwayatkan oleh dua imam hadis iaitu Tarmidzi da Al Hakim daripada Malik Bin Anas r.a katanya: " Ada dua orang yang bersaudara di zaman Rasulullah s.a.w salah seorang daripadanya selalu mendatangi Rasul s.a.w untuk menuntut dan mendalami ilmu agama daripadanya, sedangkan yang seorang lagi bekerja keras mencari rezeki. Lalu saudaranya yang bekerja keras mencari rezeki ini mengadu kepada Rasu s.a.w tentang saudaranya yang hanya menuntut ilmu. Maka baginda pun bersabda: "Mudah-mudahan kamu di beri rezeki dengan sebab dia". 

9.   Ihsan Kepada Dhu'afaa' ( orang yang lemah atau fakir miskin)

Hadis Nabi s.a.w ( HR Imam Bukhari) maksudnya: Kamu tidak di tolong oleh Allah untuk mengalahkan musuh-musuh kamu dan tidak pula akan di beri rezeki melalui harta rampasan perang dan sumber 
lainnya. Oleh itu siapa yang menginginkan pertolongan Allah dan rezeki daripada-Nya maka hendaklah  ia memuliakan orang-orang yang lemah dan berbuat ihsan kepada mereka.

10.  Hijrah

Allah S.W.T berfirman: "Barang siapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat Hijrah yang luas dan rezeki yang banyak".

Di dalam ayat ini Allah S.W.T menjanjikan bahawa sesiapa yang berhijrah di jalan-Nya, niscaya dia akan memperolehi dua perkara iaitu: "tempat Hijrah yang luas" dan " rezeki yang banyak".

Kesimpulan nya: Sikap seseorang yang hanya memberikan tumpuan kepada sebab tabi'iy dalam mencari rezeki dengan mengabaikan sebab syar'iy boleh mengakibatkan kehidupan seseorang tidak di berkati Allah walaupun hartanya banyak. Sedangkan sikap hanya memusatkan perhatian kepada sebab syar'iy sahaja tetapi mengabaikan sebab tabi'iy membuktikan bahawa ia seorang yang jahil akan Sunnah Allah. 


                                

No comments:

Post a Comment