Friday 28 February 2014

RESEPI MAK TOK " PAIS IKAN LUMI"

Mungkin kamu semua tidak tahu atau tidak pernah nampak ikan lumi ini. Tak mengapa di bawah ni Mak Long tunjuk rupa nya, ikan nya lembut tapi tulang nya banyak halus dan lembut, kalau makan boleh gigit terus tulangnya dan ianya tak menjadi masalah. Kalau di masak pais ni atau masak asam rebus memang sungguh sedap tak terkata. Bila masuk dalam mulut tak perlu kunyah daging nya susah payah tapi terus hilang dek kerana lembut dan halus dagingnya. Ikan lumi ni kalau kena pada musimnya memang banyak terutama di kampung Parit Jawa Muar, Johor. Biasa nya ia di jual secara berangkai dengan di ikat sepuluh ekor sekali ikatan di bahagian mulutnya. Ikan ini boleh juga di dapati di pasar-pasar raya tetapi telah di keringkan dan ia kelihatan badan nya nipis sekali serta ringan. Kalau di  masak pais seperti di bawah, memang sodap dan cuba lah!!.

Bahan-bahan nya:

6 ekor ikan lumi
1/2 biji bawang besar 
3 biji bawang putih
1/4 inci halia 
4 sudu makan lada kering yang telah di mesin (cili boh)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 batang serai ( kalau suka)
Sedikit air asam pekat atau air limau nipis
Garam
Daun pisang atau aluminium foil

Cara nya:

1.  Mesin bawang besar, bawang putih dan halia. 
2.  Kemudian dalam mangkuk masukkan bahan mesin tadi, cili kering mesin, serbuk kunyit, air asam dan garam. Gaul rata dan kemudian masukkan ikan dan gaul bersama ikan sehingga rata.
3.  Ambil aluminium foil dan masukkan ikan yang telah digaul bersama rencah tadi, susun ikan sebaris. Belah serai kemudian letak di atas ikan tadi.
4.  Tutup rapat aluminium foil dan kemaskan di kedua-dua hujungnya supaya semasa bakar air ikan tidak terkeluar.
5.  Akhirnya bakar di dalam kuali magic atau bakar di atas pembakar atau kuali. Setelah 20 minit belah sedikit bahagian atas aluminium dan biarkan terbuka supaya air di dalam nya kering sedikit. Sentuh dengan jari jika lembut ikan telah masak dan sedia di hidangkan.

NOTA: kalau di bakar di dalam daun pisang bungkus sekira-kira 2 helai dan gulung supaya ikan betul-betul masak, kemaskan di kedua-dua hujungnya dan selitkan dengan lidi penyapu atau cungkil gigi.


                                                    
 

RESEPI " KUIH BAKAR PANDAN"

Kuih bakar pandan ini adalah resepi dari kawan Mak Long. Oleh kerana rasanya sedap  dan lembut maka Mak Long ambil dan dah tak mahu cuba resepi lain. Bahan untuk membuatnya juga mudah.

Bahan-bahan nya:

1 1/2 cawan air
2 cawan gula
3 cawan tepung
4 cawan santan
5 biji telur
4 helai daun padan atau pewarna hijau untuk kuih

Cara nya:
 
1.  Mesin daun pandan dengan sebahagian air yang 1  1/2 cawan di atas.
2.  Campurkan gula, air dan telur kemudian godak sehingga rata.
3.  Kemudian masukkan tepung, tuangkan santan sedikit demi sedikit supaya tidak berketul. Untuk memudahkan dan mempercepatkan proses ini serta tidak berketul-ketul maka adunan ini boleh di mesin sahaja.
4.  Perap sekira-kira 10 minit kemudian bakar dalam loyang yang telah di sapu sedikit minyak, api atas bawah.
5.  Potong atau keluarkan dari loyang setelah kuih betul-betul sejuk.


Friday 7 February 2014

RESEPI MAK TOK " URAP PEGAGA "


Urap adalah salah suatu jenis makanan yang di sediakan oleh orang Johor sebagai makanan pelengkap dalam hidangan makanan bersama nasi. Sekali imbas jika di lihat urap serupa dengan kerabu tetapi ianya jauh berbeza dalam penyediaannya. Di bawah ini Mak Long sediakan resepi urap pegaga bersama daun cekur kerana ianya mudah di dapati di kampung-kampung dan di pasar.

Bahan-bahan nya:

2   genggam daun pegaga (boleh tambah daun ulaman lain)
10 helai daun cekur  ( daun wajib mesti ada)
3   ulas isi cekur ( jika ada lebih baik sebab aroma nya membangkit selera)
1 biji bawang besar
1 genggam ikan bilis
1/2 biji kelapa parut
Sedikit belacan (jika suka)
6 biji cili padi ( lebihkan jika suka pedas)
Garam

Cara nya:

1.  Basuh pegaga dan daun cekur, kemudian hiris kasar.
2.  Goreng ikan bilis, bawang besar, belacan.
3.  Mesin cili padi dan isi cekur bersama ikan bilis, bawang dan belacan yg telah di goreng tadi.
4.  Bahan yang telah di mesin di masukkan ke dalam mangkuk, gaul bersama kelapa parut dan garam hingga rata.
5.  Akhir sekali masukkan daun-daun yang telah di potong dan gaul lagi supaya rata dan rasa.

NOTA: ( i )  boleh juga guna daun selum
             ( ii )  kalau nak masukkan pucuk ubi pastikan ianya di rebus sampai   masak kemudian di perah hingga air nya kering baru di potong.
             ( iii)  pucuk paku juga perlu di masak dahulu

 
 Daun cekur dan isi cekur