Friday 28 February 2014

RESEPI MAK TOK " PAIS IKAN LUMI"

Mungkin kamu semua tidak tahu atau tidak pernah nampak ikan lumi ini. Tak mengapa di bawah ni Mak Long tunjuk rupa nya, ikan nya lembut tapi tulang nya banyak halus dan lembut, kalau makan boleh gigit terus tulangnya dan ianya tak menjadi masalah. Kalau di masak pais ni atau masak asam rebus memang sungguh sedap tak terkata. Bila masuk dalam mulut tak perlu kunyah daging nya susah payah tapi terus hilang dek kerana lembut dan halus dagingnya. Ikan lumi ni kalau kena pada musimnya memang banyak terutama di kampung Parit Jawa Muar, Johor. Biasa nya ia di jual secara berangkai dengan di ikat sepuluh ekor sekali ikatan di bahagian mulutnya. Ikan ini boleh juga di dapati di pasar-pasar raya tetapi telah di keringkan dan ia kelihatan badan nya nipis sekali serta ringan. Kalau di  masak pais seperti di bawah, memang sodap dan cuba lah!!.

Bahan-bahan nya:

6 ekor ikan lumi
1/2 biji bawang besar 
3 biji bawang putih
1/4 inci halia 
4 sudu makan lada kering yang telah di mesin (cili boh)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 batang serai ( kalau suka)
Sedikit air asam pekat atau air limau nipis
Garam
Daun pisang atau aluminium foil

Cara nya:

1.  Mesin bawang besar, bawang putih dan halia. 
2.  Kemudian dalam mangkuk masukkan bahan mesin tadi, cili kering mesin, serbuk kunyit, air asam dan garam. Gaul rata dan kemudian masukkan ikan dan gaul bersama ikan sehingga rata.
3.  Ambil aluminium foil dan masukkan ikan yang telah digaul bersama rencah tadi, susun ikan sebaris. Belah serai kemudian letak di atas ikan tadi.
4.  Tutup rapat aluminium foil dan kemaskan di kedua-dua hujungnya supaya semasa bakar air ikan tidak terkeluar.
5.  Akhirnya bakar di dalam kuali magic atau bakar di atas pembakar atau kuali. Setelah 20 minit belah sedikit bahagian atas aluminium dan biarkan terbuka supaya air di dalam nya kering sedikit. Sentuh dengan jari jika lembut ikan telah masak dan sedia di hidangkan.

NOTA: kalau di bakar di dalam daun pisang bungkus sekira-kira 2 helai dan gulung supaya ikan betul-betul masak, kemaskan di kedua-dua hujungnya dan selitkan dengan lidi penyapu atau cungkil gigi.


                                                    
 

1 comment:

  1. The Lucky Club Casino site | luckyclub.live
    The Lucky Club Casino site. Bet on your favourite games and games at the Lucky Club Casino. Enjoy slots, table games, live dealers and much luckyclub more for

    ReplyDelete