Sunday, 29 December 2013

PANDUAN MUSAFIR

Oleh kerana kita sering bermusafir samada haji, umrah, ziarah pesakit ( ibadat) atau melancong, memburu, memancing dan lain nya maka di sini di perturunkan adab-adab bermusafir supaya
musafir kita hanya kerana Allah dan sentiasa di bawah perlindungan serta pemeliharaan Allah.

ADAB SEBELUM BERTOLAK

1.   Solat Istikharah
Rasulullah berpesan yang bermaksud " Apabila salah seorang daripada kamu berhasrat melakukan sesuatu , maka hendaklah dia solat dua rakyat kemudian berdoa dengan doa Istikharah." (Riwayat Al- Bukhari)

2.   Bertaubat
Hendaklah sentiasa bertaubat kerana khuatir ia merupakan perjalanan terakhir.

3.   Sediakan Nafkah
Sediakan nafkah secukupnya untuk keluarga.

4.   Elakkan Bermusafir Secara Bersendirian
Rasulullah bertanya kepada seorang yang kembali dari musafir: " Siapa yang menemani anda? " Dia menjawab: " Tiada siapa pun". Rasulullah menjawab, seorang penunggang itu syaitan, dua orang itu dua syaitan dan tiga orang itu yang sepatutnya". ( Riwayat Ahmad , Abu Daud).

5.  Semasa Berpisah
Hendaklah memaklumkan kepada saudara terdekat tentang musafir nya supaya mereka mendoakan kesejahteraan sepanjang perjalanan.

6.  Doa Musafir:
 Ummu Salamah menceritakan bahawa Nabi tidak pernah keluar dari rumah melainkan Baginda akan melafazkan doa ini yang bermaksud:Ya Allah,aku berlindung dengan-Mu daripada menjadi sesat atau disesatkan, hilang atau dihilangkan, zalim atau dizalimi, tidak endah atau tidak diendahkan.(Riwayat  Abu Daud).

7.   Sunat Bermusafir Pada Hari Khamis
 Rasulullah suka bertolak pada hari Khamis. (Riwayat al-Bukhari).


                                                                                       

Menurut Imam Al-Zahabi, cara membaca doa ini menerusi amalan Ali bin Abi Talib r.a. ialah membaca "bismillah" sewaktu masuk dalam kenderaan, kemudian membaca "Alhamdulillah" apabila telah berada di dalam kenderaan, kemudian membaca doa di atas iaitu sebaik sahaja kita menaiki kenderaan untuk memulakan perjalanan.

ADAB SEPANJANG PERJALANAN

1.  Laksanakan Rukhsah (qasar, jamak)

Nabi bersabda,maksudnya:Sesungguhnya Allah menyukai apabila kamu mengambil rukhsah-Nya sebagaimana Dia membenci kamu melanggar perintah-Nya. " ( Riwayat Ahmad )

2.  Banyakkan Berdoa

" Ada tiga doa mustajab yang tidak syak lagi ; doa ibu bapa, doa orang yang musafir dan doa orang yang dianiayai. " ( Riwayat Ahmad dan Abu Daud ).

3.  Bersabar dan Berakhlak Baik

Semasa bermusafir, banyak dugaan dan cabarannya.Oleh itu, banyakkan bersabar supaya dipermudahkan urusan.

4.  Bertakbir Ketika Mendaki dan Bertasbih Ketika Menuruni

Jabir menceritakan : " Dahulu apabila kami mendaki, kami bertakbir. Apabila kami menuruni, kami bertasbih. " ( Riwayat Al-Bukhari ).

5.  Berdoa Sebelum Sampai Tempat Tujuan

Maksud Doa : " Ya Allah kamu mohon kepada-Mu kebaikan tempat ini dan kebaikan penduduknya.Dan kami berlindung dengan-Mu daripada keburukkannya, ahlinya dan segala yang di dalamnya.( Riwayat Al-Nasa'i )

ADAB KETIKA PULANG

1.  Segera Pulang

Pulang segera sebaik sahaja urusan selesai.Tidak digalakkan pulang lewat malam.

2.  Solat Sunat

Tunaikan solat sunat di masjid terlebih dahulu sebelum sampai ke rumah.


Rujukan Majalah Al-Ustaz




RESEPI MAK TOK "SOTONG MASAK HITAM"

Kalau tengok gambar resepi ni tentu anak-anak saudara Mak Long tak mahu mencuba nya takut tak lalu nak makan sebab warna nya tidak menyelerakan. Tapi bila sudah mencuba baru tahu yang rasanya amat unik sehingga menjilat jari. Kalau makanan, jangan pandang pada rupa tapi pada rasanya.....cuba dahulu baru komen.


Bahan-bahannya:

4 ekor sotong katak ( sotong ni tebal sikit isinya tidak seperti sotong biasa)
Bawang putih ( secukupnya) - di mesin/ tumbuk/potong halus
Bawang merah (secukupnya) - di mesin/tumbuk/ potong halus
Sedikit halia - di mesin/ tumbuk/ potong halus
Minyak (biar lebih sedikit)

Caranya:

1.  Sotong di basuh dan potong ikut suka tetapi jangan buang dakwat hitam nya.
2.  Masukkan minyak dan tumis bawan putih, bawang merah dan halia sehingga naik baunya
3.  Kemudian masukkan sotong dan goreng sehingga kuah pekat. Tidak perlu tambah air sebab air sotong akan keluar bila di masak.
4.  Untuk nampak selera, belah cili merah besar dan hiaskan di atas nya semasa menghidangkan

Nota: masak hitam ni x sedap rasanya jikalau menggunakan sotong biasa



RESEPI "CEKODOK PISANG"

Masak cekodok ni mudah je tapi kalau tak tahu berapa banyak pisang atau tepung di perlukan, cekodok akan menjadi terlalu lembik hingga serap minyak semasa menggoreng. Jika lebih tepung keras pulak jadi nya. Rasanya cekodok Mak Long ni ok la agaknya.

Bahan-bahan nya:

3 cawan pisang yang telah di lenyek ( pisang yang boleh buat kuih)
1  1/2 cawan tepung gandum
1/2 camca teh soda bicarbonate
Sedikit saja garam untuk rasa lemak

Cara nya:

1.  Lenyek pisang dengan alat pelenyek  atau lenyek dengan botol yang berisi air.
2.  Masukkan soda bicarbonate ke dalam tepung gandum.
3.  Selepas itu masukkan tepung ke dalam pisang dan garam. Kacau sehingga rata dan perap sekejap dalam 15 minit supaya adunan kembang dan lembut.
4.  Akhir nya goreng dalam minyak panas.

Nota:  Di sini Mak Long tidak letak gula sebab pisang dah manis tapi kalau suka manis masukkan lah gula ikut suka. Kalau suka letak air sedikit pun boleh. Tetapi Mak Long tak letak air sebab soda bicarbonate dah boleh melembutkan adunan.



RESEPI MAK TOK "IKAN CARU MASAK PECEL SANTAN"

Ini memang resepi kegemaran keluarga. Bila semua adik- beradik berkumpul masa cuti di kampung mesti Mak Tok masak pecel ikan ni.

Bahan-bahan nya:

1 ekor ikan caru sederhana  besar
Bawang merah secukupnya
Bawang putih sedikit sahaja
1 cawan santan pekat
6 helai daun cekor serta 3 isi cekor ( ikut suka) - daun biar lebih sedikit dari isinya
6 biji cili padi (ikut suka)
Garam

Cara nya:

1.  Ikan caru di bakar ( jangan buang jaket nya).
2.  Bawang putih dan bawang merah di bakar.
3.  Tumbuk/ mesin cili padi bersama bawang putih dan bawang merah serta isi cekor.
4.  Hiris daun cekor ( kasar atau halus ikut suka)
5.  Masukkan ikan, bahan tumbuk/mesin tadi, daun cekor dan garam ke dalam santan.
6.  Tekan-tekan sedikit ikan dengan sudu supaya terasa rempah dan santan nya.

Nota: masakan ini amat sedap jika kita gunakan ikan darat seperti haruan, keli (iwak lele), puyu ( betuk) dan lain-lain. Ikan terubuk atau ikan kembung pun boleh.


Tuesday, 24 December 2013

RESEPI " SAMBAL IKAN BILIS BELIMBING BULUH"

Sebenar nya resepi ni Mak Long dapat daripada kawan yang berasal dari Pahang sebab dia tengok Mak Long suka sangat makan sambal tu lalu terus beri resepi.

Bahan-bahan nya:

2 genggam belimbing buluh
10 biji cili padi ( lada ikut suka, tak mahu pedas campurkan bersama lada besar basah)
Sedikit bawang besar dihiris kecil
Segenggam ikan bilis (ikut suka)
Minyak masak

Cara membuat:
1.  Rebus belimbing buluh sampai kering.
2.  Tumbuk/ mesin cili padi dan kemudian masukkan belimbing, lenyek atau mesin.
3.  Tumbuk / mesin ikan bilis ( biar kasar sedikit jangan terlalu lumat).
4.  Masukkan minyak dalam kuali, bila panas masukkan bawang dan goreng sedikit kemudian masukkan cili padi, belimbing buluh dan ikan bilis. Kuantiti Minyak hendak lah sama paras dengan bahan-bahan yang  di masukkan dalam kuali.
5.  Goreng sambal hingga kering (ikut suka), kemudian naikkan di tepi kuali supaya minyak tos.

* sambal enak di makan dengan nasi putih/ lempang/ keladi rebus/ ubi rebus

Sebenarnya hari ni memang masak sambal ni, makan dengan pisang goreng pun menjadi . Selamat mencuba kepada anak- anak sedara sekalian.





Monday, 23 December 2013

TIPS PEMAKANAN - ANGGUR HITAM


Anggur hitam dikatakan kaya dengan kandungan serat dan antioksidan tinggi. Pelbagai vitamin terkandung di dalam nya yang bertindak untuk ketahanan tubuh badan.

Antara manfaat Anggur Hitam:

*  Buah Pinggang
    Baik untuk kesihatan kepada yang mengidap sakit buah pinggang serta    radang sendi. Membantu menyahkan asid yang berlebihan pada fungsi ginjal.

*  Diabetes
    Bermanfaat untuk pesakit diabetes kerana dapat membantu mengurangkan    kadar gula berlebihan.

*  Penyakit Jantung
    Dapat mencegah pembekuan darah serta mengurangkan risiko penyakit     jantung kerana tahap oksida nitrat dalam darah akan meningkat ketika makan anggur hitam.

*  Pencernaan
    Membantu mengurangkan masalah pencernaan seperti perut kembung dan sembelit. Dengan kerap memakan anggur hitam masalah ini dapat di atasi  kerana ia mengandungi gula selulosa.

* Kanser Payu Dara
   Kajian menunjukkan bahawa anggur hitam dapat membantu mencegah kanser payudara.

* Keletihan
    Bagi yang terlalu aktif, keletihan dapat di kurangkan dengan mengambil jus anggur hitam kerana kandungan zat besi ya yang tinggi.

ANGGUR HITAM

Semoga adik-adik/anak-anak sekalian mendapat manfaat dari TIPS Long ni. Cuba la secara Istiqamah  
In sya Allah berjaya.

Sunday, 22 December 2013

RESEPI - " SUP KRIM CENDAWAN"

Sos ini sangat sesuai di makan dengan kentang putar dan chiken chopped/ ayam goreng sebagai pakej. Semoga dengan resepi Mak Long ini dapat memenuhi selera dan cita rasa kalian di kala jemu makan masakan Melayu.

1. Potong mushroom butang kecil- kecil atau hiris nipis.
2. Panaskan sedikit minyak dan butter kemudian masukkan bawang putih ( 2 biji) dan mushroom.
3. Selepas itu masukkan cooking cream ( gunakan lebih supaya resepi cair), gunakan api perlahan.
4. Masukkan perasa ayam ( seasoning), sedikit lada hitam dan sedikit butter lagi ( jika suka).
5. Akhirnya kacau dan biarkan atas api hingga pekat sedikit.


sup krim cendawan

Thursday, 19 December 2013

RESEPI - " KENTANG PUTAR"

Hari ni Mak Long nak kongsi resepi yang dah Mak Long cuba dan menjadi pulak jadi tak perlu la pergi fast food bila teringat nak makan ......nak tahu namanya " Kentang Putar" ....kalaulah ade masa cuba la resepi ni ya!!!
KENTANG PUTAR

1. Potong kecil (dice) kentang (2 biji sederhana besar) dan rebus hingga empuk.
2. Kemudian tumbuk kentang ( dgn botol isi air atau ape- ape pun boleh)
3. Panaskan butter (separuh bahagian dari sebuku) dalam kuali, masukkan 2 biji bawang putih dan kentang yang telah di lenyek.
4. Masukkan cooking cream (1/2 kotak kecil) atau (1/2 cawan susu segar) , kalau suka adunan cair masukkan lebih cooking cream/susu segar, gaul rata dan campurkan telur ( 1 biji di pukul terlebih dahulu) kemudian kacau rata.
5. Akhir masukkan garam ( ikut rasa) , lada hitam dan tambahkan sedikit lagi butter( kalau suka).

SOS LADA HITAM
Untuk sosnya pulak,kita perlukan:

2 sudu besar butter
11/2 sudu besar tepung gandum
sedikit bawang besar
1 ketul kiub ayam
2 cawan air
sedikit kicap manis/kicap pekat
garam secukup rasa
1 sudu kecil lada hitam
sedikit gula (kalau perlu)

CARA-CARANYA
1.  Cairkan butter dengan api kecil
2.  Setelah cair masukkan tepung gandum dan kacau selalu hingga rata
3.  Masukkan bawang, kacau hingga naik bau
4.  Masukkan kiub ayam serta air dan kacau sebati
5.  Tambahkan kicap pekat/kicap manis, lada hitam dan kacau hingga likat
[kalau sos kurang likat masukkan sedikit tepung jagung - bancuh tepung jagung dengan sedikit air terlebih dahulu]



Ok sila lah adik-adik / anak-anak mencubanya ye, kalau ok respond Mak Long balik, selamat mencuba !!!


Kentang Putar bersama Sos Lada Hitam

Tuesday, 17 December 2013

SUNTIKAN SEMANGAT PERJUANGAN

Hari ni Mak Long baru saja selesai membaca sebuah buku (True Story) oleh ustaz Riduan Mohammad Nor bertajuk CINTA SANG MURABBI. Cerita berkisar kisah seorang pejuang HAMAS iaitu Sheikh Ahmad Ismail Yassin, yang digelar Singa di siang hari Abid di malam hari, sungguh hebat dan mengkagumkan. Prinsip perjuangannya "Hidup Mulia, Mati Syahid".

Di antara kata-kata yang menjadi ingatan kepada kita ialah pesanan nya kepada anak-anak muda Islam seluruh dunia:
1. Telah tiba saatnya kalian bangun dan solat subuh secara berjemaah, menghiasi diri dengan yang mulia, amalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad SAW.
2. Wahai anak-anak ku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.
3. Wahai puteri ku, aku ingin kalian berjanji kepada Allah akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Jadikan ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah sebagai teladan, pelita hidup kalian.
4. Kepada semua, aku ingin kalian bersiap dengan agama dan ilmu pengetahuan. Latih lah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.
5. Menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

Justeru wahai anak-anak muda sekalian renungi lah sejenak pesanan MURABBI ini supaya menjadi pendorong dan suntikan semangat agar lebih tabah dalam mengharungi cabaran dunia untuk akhirat yang kekal. Bagi beliau,"Kalian adalah pelapis perjuangan yang akan menggantikan generasi tua yang berkelana ke alam abadi".

Monday, 16 December 2013

PEMBUKA KATA

Assalamualaikum, ini lah blog m.long yang baru dibina!!jika sesiapa anak buah m.long yang berminat silalah tatap.M.long akan sediakan beberapa resepi ( tradisi keluarga RESEPI MAK TOK), tip, petua, amalan, ringkasan buku, busana Muslim, pengalaman melancong dan ziarah, nasihat serta panduan yang bermanafaat untuk tatapan anak-anak saudara Mak Long pada masa akan datang, akan dimasukkan ke dalam blog ini.Semoga blog ini boleh membantu kalian di dunia dan akhirat.

Terima Kasih di ucapkan jika singgah atau tersinggah di blog yang tidak seberapa ini. Komen kalian di alu-alukan.